Wednesday, December 2, 2009

Program Ibadah Qurban Belia Peringkat Daerah Batu Pahat

Hari ini hari ke 2 , hari raya Aidiladha. Majlis Qurban masih diadakan. Kali ini Kg Sungai Nibong diamanahkan untuk melakukan majlis Qurban untuk Belia Daerah Batu Pahat. Majlis dianjurkan oleh Pejabat Belia Daerah Batu Pahat bersama Persatuan Belia Camar Kampung Sungai Nibong dan JKKK Kg Sungai Nibong.

Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Haji Ariss Samsudin ADUN Semerah . Dua Ekor lembu di korbankan yang disumbangkan oleh pejabat Belia Daerah Batu Pahat. Terima kasih diucapkan.


Dua Ekor lembu yang di Qurbankan

Pegawai Dari Pejabat Belia Daerah Batu Pahat dan Penyelia Kemas Parlimen Parit Sulong En. Zaid Mazri turut hadir.

Ketua kampung En. Misnon Bin Seri ketika menyampaikan ucapan


YB Datuk Hj Ariss Samsudin ketika merasmikan majlis.

Terima kasih diucapkan kepada semua belia, pejabat Belia Daerah, Pejabat Kemas Parlimen Parit Sulong dan JKKK Kampung Sungai Nibong Semerah.


Hari Raya Qurban

Pagi itu suasana suboh sungguh sepi dan sayu. Di sudut kampung kedengaran sayup-sayup suara bilal bertakbir menandakan hari ini adalah hari raya Qurban yang disambut sungguh gembira oleh seluruh umat islam termasuk aku. Aku bingkas bangun untuk membersihkan diri dan bersolat. Aku amat bersyukur kepada Allah kerana masih diberi peluang olehnya menikmati kehidupan di dunia ini.
Pukul 8 pagi aku dah bersiap untuk menunaikan sembahyang sunat Aidiladha disurau 2 kg. Sungai Nibong tempat tinggalku. Suasana di surau sungguh sayu memuji keagungan Allah . Ramai anak kampung yang pulang samada yang tinggal jauh atau dekat. Masing-masing bersolat untuk memohon keberkatan dari Allah yang maha Agung. Solat Hari Raya berakhir pada pukul 9.30 pagi.
Aku terus bergegas pulang dan menjamah makanan yang tersedia. Aku menyiapkan diri dan terus ke surau kembali. Pagi ini aku telah diamanahkan untuk menguruskan korban keluarga En. Katmin Bin Husin . Se ekor lembu dikorbankan untuk Aidiladha tahun ini. Mudah-mudahan ibadah korban En. Katmin dan keluarga diterima oleh Allah Subhanallahi wataala. Semua kariah surau 2 bergotong royong untuk menyempurnakan majlis Qurban.

Majlis dimulakan dengan tahlil ringkas dan doa kemudian penyembelihan dilakukan oleh Imam 1 surau 2 , Kg Sungai Nibong merangkap ketua kampung Sungai Nibong En. Misnon Bin Seri.






Hari ini majlis harus diselesaikan sebelum pukul 12 tengahari kerana hari ini adalah hari Jumaat. Semua kariah surau 2 akan menunaikan sembahyang Jumaat. Terima kasih kepada semua kariah surau 2, Kg Sungai Nibong kerana menjayakan korban ini .


Monday, November 30, 2009

Kampungku Menyertai Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang

Aku memang amat bersyukur kerana kampungku terpilih mewakili Daerah Batu Pahat dalam Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Negeri Johor. Aku memang berharap mudah-mudahan kampungku akan berjaya. Memang aku akui kampungku memang padat dengan aktiviti dan program peringkat kampung dan daerah. Sekurang-kurangnya semua warga kampung akan dapat bersama-sama dan merapatkan siratulrahim antara kami. Muafakat tentu akan membawa berkat. Ini dapat dibuktikan dengan wujudnya tempat-tempat yang menarik yang menjadi mercu tanda Sungai Nibong . Anak kampung tentu akan merasa bangga dengan kejayaan kampung.

Pada 25hb. November yang lalu para pengadil yang bijaksana telah datang dan menilai kampungku untuk pertandingan Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Negeri Johor. Tentunya kampungku menghadapi saingan yang begitu sengit dengan daerah-daerah yang lain. Meskipun kampungku pernah memenangi berbagai-bagai pertandingan namun kami tetap berusaha untuk mendapat tempat dalam Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang. Kejayaan-kejayaan yang pernah kami kecapi seperti Johan pertandingan Landskap Kemas Peringkat Kebangsaan, Johan KPW peringkat Negeri Johor dan mewakili Negeri Johor ke Peringkat kebangsaan, Johan Landskap Herba Masjid Negeri Johor dan berbagai-bagai lagi telah menjadi pendorong kepada kami untuk mencipta kejayaan.

Ku rakamkan gambar untuk tatapan anak kampung diperantau dan warga kampung yang tak sempat bersama-sama dalam majlis penilaian oleh Pengadil-pengadil yang bijaksana.


Gerbang Masuk ke Dewan


Tarian Kuda Kepang Menyambut Pengadil


Persembahan Kumpulan Zapin Berirama Sungai Nibong

Rawatan Kesihatan Percuma kepada Penduduk


Perkumpulan Wanita yang mewakili KPW ke peringkat kebangsaan


Dikir Barat Kanak-kanak Sungai Nibong Menjadi Johan Dikir Barat JKOP Negeri Johor


Para Pengadil Sedang Menjamu Selera Bersama KADO Daerah Batu Pahat


Ketua Pengadil En. Nasharuddin dan Pemangku Penghulu mukim 1

Tetamu yang Hadir Bersama Ketua Kampung




Pn.Sharifah Wahid Penyelia Kanan Kemas Parlimen Parit Sulong merangkap ketua Wanita UMNO Parlimen Parit Sulong



KADO Daerah Batu Pahat Memotong Nanas Madu

Ketua Pengadil En. Nasharuddin Memotong Nanas.

Para Pengadil Bergambar Kenangan Bersama JKKK Kg. Sungai Nibong

Pengadil Berangkat Pulang.

Mudah-mudahan kampungku akan berjaya dan cemerlang.

Sunday, November 22, 2009

Treasure Race 2009 Berkunjung Ke Kg Sungai Nibong

Hari ini kampungku bagaikan ada pesta. Meriah dan ceria. Penduduk kampung sibuk membuat persiapan untuk menghadapi pertandingan Gerakan Daya Wawasan peringkat Negeri johor. Masing-masing bermuafakat menceriakan kawasan sendiri untuk memastikan Kg Sungai Nibong Berjaya. Gotong Royong masih kami kekalkan walaupun kampungku sedang dilanda arus kemodenan. Budaya nenek moyangku tetap kami pertahankan. Sesuatu yang baik itu pasti membawa keberkatan.

Kampungku hari ini dilanda pengunjung berbaju merah. Bukan penyokong Thaksin tetapi mereka adalah peserta Treasure Race 2009 Ahli Parlimen Parit Sulong. Tahniah kepada Datuk Noraini Bte Hj Ahmad Ahli Parlimenku. Terima kasih kerana memilih Kampung Sungai Nibong sebagai satu Destinasi Treasure Race 2009 Parlimen Parit Sulong. Sekurang-kurangnya mereka akan melihat sendiri keistimewaan kampungku dan boleh memperkenalkan kampungku kepada rakan dan keluarga.

Ku rakamkan sedikit renteten peristiwa Treasure Race 2009 Ahli Parlimen Parit Sulong.








Mudah-mudahan kedatangan para peserta akan membawa keberkatan kepada kampungku yang sedang menghadapi Pertandingan Kampung Gerakan Daya Wawasan Peringkat Negeri Johor. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke kampung kami. Semoga anda mendoakan kejayaan kami.

Muafakat Teras Kejayaan Kami

Hari ini hari minggu. Rasanya dihari minggu seperti ini memang sesuai untuk membersihkan kawasan sekeliling rumah. Maklumlah , biasanya hari bekerja memang sibuk dengan tugas. Aku mencapai cangkul dan parang dan menuju terus ke tepi jalan. Tak nampak ceria. Aku mengambil keputusan nak menanam bunga yang lebih ceria sikit. Berwarna kuning kehijau-hijauan. Agaknya nampak cantik sikitlah kawasan depan rumah aku. Aku meninjau-ninjau sekeliling rumah. Ah.. inilah agaknya bunga yang menimbulkan warna yang ceria. Gabungan warna kuning dan hijau.
Aku menoleh ke laut dan ke darat kampung. Wah meriahnya... Mengapa ramai sangat orang berada ditepi jalan ni. Semua warga kampungku Suami dan isteri sibuk menceriakan bahagian depan rumah. Oooo... ye tak ye juga. Rupanya kampungku akan dinilai dalam pertandingan Kampung Gerakan Daya Wawasan peringkat negeri Johor. Bertambah bersemangatlah aku.

Memang itulah yang menjadi amalan kami. Muafakat membawa berkat. Kampung kami menjadi maju kerana muafakat. Berbagai-bagai kejayaan kami raih. Tapi bukan itu matlamat kami. Yang penting kampung kami akan menjadi maju dan ekonomi warga kami lumayan. Sebab itu kami JKKK berbincang, merancang dan melaksanakan program untuk kebaikan kami.

Lihatlah betapa cerianya persekitaran kampung kami. Jika ada masa kunjungilah kampung kami.










Mesyuarat Kemuafakatan kampung

Semoga kampung Sungai Nibong menjadi kampung yang cemerlang. Tahniah kepda semua warga Kampung Sungai Nibong Semerah Batu Pahat Johor.




Saturday, November 14, 2009

Kebanggaan Kampungku.

Kini kampungku mangkin tambah ceria. Saban hari berbagai-bagai perubahan sudah dilakukan. Dari kampung yang kurang dikenali, kini kampungku sudah dikenali diseluruh negara. Kejayaan demi kejayaan yang kami kecapi , namun kami tidak juga berhenti melakukan perubahan.

Sekarang ini kami sedang bertungkus lumus membuat persiapan menghadapi pertandingan Kampung Gerakan Daya Wawasan peringkat negeri Johor. Bukan saja penduduk kampung tetapi anak-anak kampung yang tinggal di luar juga turut menyumbang. Masing-masing berbangga dengan kejayaan kampung mereka iaitu kampung Sungai Nibong Semerah Batu Pahat Johor. Kampung yang dikenali kerana berbagai produk pertaniannya dan juga industri IKS dan juga berbagai produk kebudayaan.


Ramai pelancong yang datang untuk melihat sendiri kehidupan kami yang indah dan permai. Mereka melihat sendiri projek-projek kampung Sungai Nibong , yang memang aktif dan sentiasa berkembang. Pelancong-pelancong Singapura dan Jepun datang kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang kebudayaan kita terutama Zapin, barongan, Kuda kepang dan juga permainan tradisional.
Kami paparkan senario kampung kami dan berbagai produk yang dihasilkan.

Produk Kosmetik Cahaya Herba yang dihasilkan dari tanaman Temulawak dan Kunyit. Kelihatan dalam gambar Datuk Noraini Ahmad Ahli Parlimen Parit Sulong dan Adun Semerah Datuk Hj Ariss Samsudin semasa melancarkan produk Cahaya Herba.



Perusahaan Membuat Kerepek dan Tempe

Projek Ternakan kambing


Tanaman Nanas Madu


Projek Pembuatan Baja Bio Agro

Projek Ternakan Lembu Daging

Pengeluar Tanaman Mas Cotek

Bebagai-bagai projek ekonomi dijalankan oleh penduduk Sungai Nibong untuk meningkat taraf ekonomi mereka dan syukur kami memang sentiasa memandang kehadapan untuk memajukan kampung kami.


Wednesday, September 30, 2009

Takziah Buat Keluarga Wak Suradi dan Hj Kamit Bin Marjo.

Dalam kita mengerjakan ibadah puasa yang lalu, kita telah kehilangan warga kampung kita iaitu isteri kepada Wak suradi yang telah kembali kerahmatullah dalam bulan puasa yang lalu. Dalam hari yang baik dan bulan yang baik , maka Allah telah menjemput almarhumah dalam keadaan yang tenang. Semoga almarhumah akan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman.
Raya keempat pula kita telah kehilangan warga kita iaitu Tn. Hj Kamit Bin Marjo yang telah kembali kerahmatullah pada hari raya keempat. Mudah-mudahan beliau akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman.
Kepada keluarga wak Suradi dan Hj Kamit diharap bersabar menerima dugaan dari Allah atas kehilangan orag-orang yang tersayang.
Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya maaf zahir Batin kepada seluruh warga Kg Sungai Nibong Semerah dan semua yang melayari blog saya. Harap salah dan silap dapat dimaafkan. Sekiranya warga Kg Sungai Nibong atau anak-anak perantauan Sungai Nibong Semerah ingin menyumbang apa-apa artikal atau gambar-gambar sejarah atau peristiwa bolehlah email saya dialamat yang tertera dibahagian atas blog saya.
Selamat Hari Raya Untuk Seluruh Umat Islam di Malaysia.

Sunday, September 13, 2009

Puasa membawa Berkat

Assalamualaikum,
Bulan puasa akan menghampiri kepenghujungnya. Masing-masing begitu sibuk membuat persediaan. Kedai dan supermarket penuh sendat dengan pelanggan yang ingin membeli keperluan. Baju, seluar, cadar, langsir jadi pilihan. Semuanya ingin serba baru. Tapi ada juga yang kenderaan pun nak ditukar baru. Tapi berhati-hatilah agar ianya tak menyusahkan kita dikemudian hari. Belilah mengikut keperluan dan kemampuan kita
Disaat-saat ini juga banyak majlis-majlis khatam Al-qur'an diadakan di masjid dan surau-surau. Tiap hari ada saja saya menerima jemputan. Majlis berbuka dengan makanan yang enak-enak belaka, nasi Beraini, nasi jagung, nasi minyak dan sebagainya. Mewahnya kita . Tapi harus diingat dalam bulan puasa bukan untuk majlis makan-makan yang enak- enak. Pengajaran dan keberkatan dari bulan berpuasa lebih diutamakan.
Dikampung Sungai Nibong yang penduduknya berketurunan jawa, jadi banyak tradisi-tradisi yang diamalkan. Ramai disaat-saat akhir ini yang munjung. Munjung dalam bahasa jawa ialah memberi makanan kepada jiran-jiran, saudara-mara dan orang-orang yang fakir. Tujuannya ialah supaya saudara mara , jiran dan orang-orang yang tidak berada merasai kemeriahan Hari raya tanpa mengira kaya atau miskin. Tradisi ini telah diamalkan oleh masyarakat jawa sejak turun temurun.
Dulu munjung dilakukan ketika menjelang Hari Raya atau di pagi Raya tetapi sekarang telah berubah. Ramai yang melakukan pada seminggu sebelum hari raya sebab kalau dihantar pada Hari Raya terlalu banyak makanan, jadi makanan yang dihantar akan dibuang dan membanzir. Jadi bila dihantar pada seminggu sebelum Hari Raya maka makanan akan dapat dinikmati oleh penerimanya. Begitulah tujuan murni munjung dalam masyarakat jawa.
Kepada semua yang pernah membaca blog saya ini saya ucapkan Selamat Hari raya maaf zahir batin.

Thursday, August 13, 2009

Takziah buat nendaku.....

Malam nisfu saaban membawa seribu kebahagiaan buat umat islam. malam itu semua surau dan masjid dipenuhi oleh para -para jemaah untuk mendapat keredaan Allah subhanallahi wataala. Bacaan yasin bergema, memuji dan berzikir keatas kebesaran Allah yang maha agung.
Malam itu aku pulang dari surau pukul 9.30 malam. Tup...tup talipon berbunyi memberitahu kembalinya nendaku Hjh Paimah Bte Hj Arif pada pukul 9.30 malam bersamaan 6hb Ogos 2009. Sedih tak terkata... kami seluruh keluarga berkumpul di rumah pakcikku di kampung lubok untuk menguruskan jenazah nendaku. semua sanak saudara jauh dan dekat bergegas pulang untuk menghormati nenda tercinta.
Esoknya pukul 10.30 pagi nendaku selamat dikebumikan. Kepada seluruh warga kampung saya bagi pihak keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. semoga hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan.Semoga roh nendaku berada dalam golongan orang-orang yang beriman......Al-fatihah.

Sunday, August 9, 2009

Johan Anugerah Desa Wawasan Daerah Batu Pahat

Tahniah kepada JKKK kg Sungai Nibong Semerah Batu Pahat dan seluruh penduduk kg sungai nibong kerana telah dinobatkan sebagai Johan Desa Wawasan Daerah Batu Pahat tahun 2009. Kesungguhan dan kegigihan seluruh penduduk telah menghasilkan kejayaan. Semoga warga kg sungai nibong akan berusaha untuk cuba meraih kejayaan negeri Johor pula.
Tahniah untuk semua warga kg sungai nibong....

Wednesday, July 15, 2009

Takziah Buat Keluarga Tuan Hj Jumiran

Kami penduduk kampung Sungai Nibong ingin mengucapkan takziah kepada Tuan Hj Jumiran di atas kembalinya kerahmatullah isteri beliau puan Hajah Asiah Bte Hj Ishak , pada hari Isnin bersamaan 13hb.Julai 2009.

Kami berharap semuga tuan sekeluarga bersabar atas dugaaan dari Allah S.A.W.Dari dia kita datang, kepadanya juga kita akan kembali. Semoga rohnya berada dalam golongan orang-orang yang beriman .
Alfatihah..

Tuesday, July 7, 2009

Ucapan Takziah Buat Keluarga Penghulu Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat Johor

Kembalinya kerahmatullah Penghulu Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat Johor pada 6hb.Julai 2009 jam 4.00pagi di Hospital batu Pahat. Dengan perasaan sedih kami warga Kg.Sungai Nibong Semerah ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Penghulu Mukim 1 Lubok, En.Samuri Bin Abd. Majid dengan kembalinya kerahmatullah Tok Penghulu yang kita kasihi.Semoga keluarga beliau bersabar dan menerima dugaan dari Allah dengan hati yang cekal.
Beliau merupakan seorang Penghulu yang sentiasa berkhidmat untuk penduduk di kampung pentadbirannya dan banyak berjasa kepada kampung-kampung dijajahan mukim 1 Lubok.Kami warga Kg Sungai Nibong amat terhutang budi kepada beliau.Beliau merupakan seorang penghulu yang peramah dan mudah untuk memberi bantuan kepada sesiapa sahaja. Kita telah kehilangan seorang Penghulu yang didikasi dan dihormati.
Sesungguhnya bahawa kita datang dari Allah dan kita juga akan kembali kepadanya.Semoga Roh Allahyarham akan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Alfatihah.

Saturday, June 13, 2009

Pertandingan Kumpulan Wanita Jaya Peringkat Kebangsaan 2009


Kg sungai Nibong Semerah Batu Pahat Johor telah terpilih untuk bertanding dalam Pertandingan Kumpulan Wanita Jaya Bagi tahun 2009. Majlis Pengadilan telah diadakan pada 11hb. Jun 2009 bertempat di Dewan Seri Utama Kg. Sungai Nibong Semerah Batu Pahat Johor. Kami bagi pihak penduduk kg Sungai Nibong mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengadil yang bijaksana dan semua tetamu-tetamu yang hadir.
Kg. Sungai Nibong adalah sebuah kg Tradisional dan mempunyai berbagai-bagai Industri pembuatan, seperti kerepek, tempe, tanaman sawit, pertanian, pusat timbang sawit dan perniagaan lain seperti kedai hardware, jahitan dan sebagainya.
Kebudayaan pula ialah permainan kuda kepang, gamelan berirama, zapin, barongan ,kompang, kugiran dan sebagainya. Kg Sungai nibong memang terkenal dengan pusat kesenian di kawasan Negeri Johor.
Berikut adalah rakaman detik-detik majlis yang diadakan pada hari itu.









Sunday, June 7, 2009

Takziah Buat Keluarga Tn. Hj Adani Bin Boyamin

Pada petang 1hb. Jun 2009 yang lalu, Tuan Hj Adani Bin Boyamin telah kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang tenang. Kami penduduk kariah surau 2 tengah, turut merasa sedih diatas kembalinya Tn. Hj Adani kerahmatullah. Seorang lagi orang tua yang menjadi pembimbing kami telah kembali menyahut seruan Illahi. Sesungguhnya tuhan lebih menyayangi beliau.
Kami bagi pihak seluruh penduduk kampung Sungai Nibong, mengucapkan takziah buat keluarga Tn.Hj Adani Bin Boyamin. Semoga Allahyarham digolongkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Semoga seluruh keluarga beliau bersabar dan menerima dugaan dan ujian yang paling besar ini.Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.Amin..

Monday, June 1, 2009

Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan Khairunisa Bte Ihsan dan pasangannya Fazli Bin Othman telah diadakan pada 31 Mei 2009 di rumah ibundanya Pn. Hafifah Bte Hj Sohar dikampung Sungai Nibong Semerah Batu Pahat Johor.
Pengerusi dan AJK Kampung ingin mengucapkan selamat Pengantin Baru Kepada Kedua mempelai. Semoga Bahagia Hingga ke anak cucu.

Sunday, May 3, 2009

Sejarah Kampung Sungai Nibong

Kampung Sungai Nibong Semerah terletak 0.5km dari Pekan Semerah dan lebih kurang 23km dari bandar Batu Pahat. Jalan utamanya adalah Jalan Batu Pahat Muar yang melalui Pekan Sungai Balang, Parit Jawa dan Bandar Muar.

Sejarah Kampung :
Kampung Sungai Nibong adalah sebuah kampung tradisional yang kini semakin membangun mengikut peredaran masa.

Dibuka oleh sekumpulan pendatang dari Indonesia berketurunan Jawa pada sekitar tahun 1890-an. Kumpulan ini diketuai oleh En.Besari.

Nama Sungai Nibong diambil sempena pokok nibong yang banyak tumbuh di kawasan tersebut.
Ia berada di dalam pentadbiran Mukim 1 Lubok. Terletak di sebelah barat Daerah Batu Pahat dengan jarak sejauh 23 km dari pusat bandar Penggaram.

Keluasan kampung ini dianggarkan 1834 hektar. Penduduknya pula seramai 2240 orang dari 380 keluarga yang terdiri dari kaum Melayu.

Pekerjaan utama penduduk kampung ini adalah sebagai petani, peniaga,pekerja swasta, kakitangan kerajaan, dan buruh.

Ditadbir oleh seramai 12 orang ketua kampung sehingga tahun 2005.

Friday, May 1, 2009

Selamat Datang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hari ini saya baru melancarkan laman blog saya yang berkaitan dengan sejarah kampung, aktiviti, perkembangan, industri , produk-produk dan kebudayaan kampung. Saya harap rakan-rakan dan para pelawat sudi melayari blog kg sungai nibong Semerah dan sudi berkongsi pengalaman dengan saya. Saya harap anda akan mendapat maklumat-makluman yang baik dan bermanafaat dari laman saya.
Terima kasih.