Saturday, November 14, 2009

Kebanggaan Kampungku.

Kini kampungku mangkin tambah ceria. Saban hari berbagai-bagai perubahan sudah dilakukan. Dari kampung yang kurang dikenali, kini kampungku sudah dikenali diseluruh negara. Kejayaan demi kejayaan yang kami kecapi , namun kami tidak juga berhenti melakukan perubahan.

Sekarang ini kami sedang bertungkus lumus membuat persiapan menghadapi pertandingan Kampung Gerakan Daya Wawasan peringkat negeri Johor. Bukan saja penduduk kampung tetapi anak-anak kampung yang tinggal di luar juga turut menyumbang. Masing-masing berbangga dengan kejayaan kampung mereka iaitu kampung Sungai Nibong Semerah Batu Pahat Johor. Kampung yang dikenali kerana berbagai produk pertaniannya dan juga industri IKS dan juga berbagai produk kebudayaan.


Ramai pelancong yang datang untuk melihat sendiri kehidupan kami yang indah dan permai. Mereka melihat sendiri projek-projek kampung Sungai Nibong , yang memang aktif dan sentiasa berkembang. Pelancong-pelancong Singapura dan Jepun datang kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang kebudayaan kita terutama Zapin, barongan, Kuda kepang dan juga permainan tradisional.
Kami paparkan senario kampung kami dan berbagai produk yang dihasilkan.

Produk Kosmetik Cahaya Herba yang dihasilkan dari tanaman Temulawak dan Kunyit. Kelihatan dalam gambar Datuk Noraini Ahmad Ahli Parlimen Parit Sulong dan Adun Semerah Datuk Hj Ariss Samsudin semasa melancarkan produk Cahaya Herba.



Perusahaan Membuat Kerepek dan Tempe

Projek Ternakan kambing


Tanaman Nanas Madu


Projek Pembuatan Baja Bio Agro

Projek Ternakan Lembu Daging

Pengeluar Tanaman Mas Cotek

Bebagai-bagai projek ekonomi dijalankan oleh penduduk Sungai Nibong untuk meningkat taraf ekonomi mereka dan syukur kami memang sentiasa memandang kehadapan untuk memajukan kampung kami.


Wednesday, September 30, 2009

Takziah Buat Keluarga Wak Suradi dan Hj Kamit Bin Marjo.

Dalam kita mengerjakan ibadah puasa yang lalu, kita telah kehilangan warga kampung kita iaitu isteri kepada Wak suradi yang telah kembali kerahmatullah dalam bulan puasa yang lalu. Dalam hari yang baik dan bulan yang baik , maka Allah telah menjemput almarhumah dalam keadaan yang tenang. Semoga almarhumah akan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman.
Raya keempat pula kita telah kehilangan warga kita iaitu Tn. Hj Kamit Bin Marjo yang telah kembali kerahmatullah pada hari raya keempat. Mudah-mudahan beliau akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman.
Kepada keluarga wak Suradi dan Hj Kamit diharap bersabar menerima dugaan dari Allah atas kehilangan orag-orang yang tersayang.
Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya maaf zahir Batin kepada seluruh warga Kg Sungai Nibong Semerah dan semua yang melayari blog saya. Harap salah dan silap dapat dimaafkan. Sekiranya warga Kg Sungai Nibong atau anak-anak perantauan Sungai Nibong Semerah ingin menyumbang apa-apa artikal atau gambar-gambar sejarah atau peristiwa bolehlah email saya dialamat yang tertera dibahagian atas blog saya.
Selamat Hari Raya Untuk Seluruh Umat Islam di Malaysia.

Sunday, September 13, 2009

Puasa membawa Berkat

Assalamualaikum,
Bulan puasa akan menghampiri kepenghujungnya. Masing-masing begitu sibuk membuat persediaan. Kedai dan supermarket penuh sendat dengan pelanggan yang ingin membeli keperluan. Baju, seluar, cadar, langsir jadi pilihan. Semuanya ingin serba baru. Tapi ada juga yang kenderaan pun nak ditukar baru. Tapi berhati-hatilah agar ianya tak menyusahkan kita dikemudian hari. Belilah mengikut keperluan dan kemampuan kita
Disaat-saat ini juga banyak majlis-majlis khatam Al-qur'an diadakan di masjid dan surau-surau. Tiap hari ada saja saya menerima jemputan. Majlis berbuka dengan makanan yang enak-enak belaka, nasi Beraini, nasi jagung, nasi minyak dan sebagainya. Mewahnya kita . Tapi harus diingat dalam bulan puasa bukan untuk majlis makan-makan yang enak- enak. Pengajaran dan keberkatan dari bulan berpuasa lebih diutamakan.
Dikampung Sungai Nibong yang penduduknya berketurunan jawa, jadi banyak tradisi-tradisi yang diamalkan. Ramai disaat-saat akhir ini yang munjung. Munjung dalam bahasa jawa ialah memberi makanan kepada jiran-jiran, saudara-mara dan orang-orang yang fakir. Tujuannya ialah supaya saudara mara , jiran dan orang-orang yang tidak berada merasai kemeriahan Hari raya tanpa mengira kaya atau miskin. Tradisi ini telah diamalkan oleh masyarakat jawa sejak turun temurun.
Dulu munjung dilakukan ketika menjelang Hari Raya atau di pagi Raya tetapi sekarang telah berubah. Ramai yang melakukan pada seminggu sebelum hari raya sebab kalau dihantar pada Hari Raya terlalu banyak makanan, jadi makanan yang dihantar akan dibuang dan membanzir. Jadi bila dihantar pada seminggu sebelum Hari Raya maka makanan akan dapat dinikmati oleh penerimanya. Begitulah tujuan murni munjung dalam masyarakat jawa.
Kepada semua yang pernah membaca blog saya ini saya ucapkan Selamat Hari raya maaf zahir batin.

Thursday, August 13, 2009

Takziah buat nendaku.....

Malam nisfu saaban membawa seribu kebahagiaan buat umat islam. malam itu semua surau dan masjid dipenuhi oleh para -para jemaah untuk mendapat keredaan Allah subhanallahi wataala. Bacaan yasin bergema, memuji dan berzikir keatas kebesaran Allah yang maha agung.
Malam itu aku pulang dari surau pukul 9.30 malam. Tup...tup talipon berbunyi memberitahu kembalinya nendaku Hjh Paimah Bte Hj Arif pada pukul 9.30 malam bersamaan 6hb Ogos 2009. Sedih tak terkata... kami seluruh keluarga berkumpul di rumah pakcikku di kampung lubok untuk menguruskan jenazah nendaku. semua sanak saudara jauh dan dekat bergegas pulang untuk menghormati nenda tercinta.
Esoknya pukul 10.30 pagi nendaku selamat dikebumikan. Kepada seluruh warga kampung saya bagi pihak keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. semoga hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan.Semoga roh nendaku berada dalam golongan orang-orang yang beriman......Al-fatihah.

Sunday, August 9, 2009

Johan Anugerah Desa Wawasan Daerah Batu Pahat

Tahniah kepada JKKK kg Sungai Nibong Semerah Batu Pahat dan seluruh penduduk kg sungai nibong kerana telah dinobatkan sebagai Johan Desa Wawasan Daerah Batu Pahat tahun 2009. Kesungguhan dan kegigihan seluruh penduduk telah menghasilkan kejayaan. Semoga warga kg sungai nibong akan berusaha untuk cuba meraih kejayaan negeri Johor pula.
Tahniah untuk semua warga kg sungai nibong....

Wednesday, July 15, 2009

Takziah Buat Keluarga Tuan Hj Jumiran

Kami penduduk kampung Sungai Nibong ingin mengucapkan takziah kepada Tuan Hj Jumiran di atas kembalinya kerahmatullah isteri beliau puan Hajah Asiah Bte Hj Ishak , pada hari Isnin bersamaan 13hb.Julai 2009.

Kami berharap semuga tuan sekeluarga bersabar atas dugaaan dari Allah S.A.W.Dari dia kita datang, kepadanya juga kita akan kembali. Semoga rohnya berada dalam golongan orang-orang yang beriman .
Alfatihah..

Tuesday, July 7, 2009

Ucapan Takziah Buat Keluarga Penghulu Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat Johor

Kembalinya kerahmatullah Penghulu Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat Johor pada 6hb.Julai 2009 jam 4.00pagi di Hospital batu Pahat. Dengan perasaan sedih kami warga Kg.Sungai Nibong Semerah ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Penghulu Mukim 1 Lubok, En.Samuri Bin Abd. Majid dengan kembalinya kerahmatullah Tok Penghulu yang kita kasihi.Semoga keluarga beliau bersabar dan menerima dugaan dari Allah dengan hati yang cekal.
Beliau merupakan seorang Penghulu yang sentiasa berkhidmat untuk penduduk di kampung pentadbirannya dan banyak berjasa kepada kampung-kampung dijajahan mukim 1 Lubok.Kami warga Kg Sungai Nibong amat terhutang budi kepada beliau.Beliau merupakan seorang penghulu yang peramah dan mudah untuk memberi bantuan kepada sesiapa sahaja. Kita telah kehilangan seorang Penghulu yang didikasi dan dihormati.
Sesungguhnya bahawa kita datang dari Allah dan kita juga akan kembali kepadanya.Semoga Roh Allahyarham akan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Alfatihah.